SINIS TOK KAM: PERLAKSANAAN IBADAH KORBAN UNTUK ORANG YANG TELAH MENINGGAL

0
595

orang yang dah meninggal

 

PELAKSANAAN KORBAN UNTUK ORANG YANG TELAH MENINGGAL DUNIA

Ibadah korban ialah amalan sembelihan binatang ternakan yang dilakukan oleh umat islam pada hari raya Aidiladha dan hari-hari Tasyrik iaitu pada 10, 11, 12, dan 13 Zul-hijjah.

Antara syarat-syarat bagi individu yang dituntut untuk melaksanakan ibadah korban ialah seorang muslim yang masih hidup. Maka tidak boleh melakukan ibadah korban ke atas orang yang telah meninggal dunia.

Dalam hal ini, para ulama’ dalam mazhab As-Syafie meletakkan tiga (3) syarat bagi seseorang itu melakukan ibadah korban ke atas orang yang telah meninggal dunia:

  1. Korban Wasiat: Sekiranya si mati pernah meninggalkan wasiat agar dilaksanakan korban untuknya, maka waris dituntut untuk melakukan korban tersebut, dan hendaklah disedekahkan kesemua daging korban tersebut kepada fakir dan miskin.
  1. Korban Nazar: Sekiranya si mati pernah bernazar untuk melaksanakan ibadah korban, lalu ia mati sebelum sempat melaksanakannya, maka waris dituntut untuk melakukan korban tersebut meskipun tanpa berwasiat.
  1. Korban Ta’yin: Sekiranya si mati pernah berazam atau bernazar untuk melakukan ibadah korban dengan menentukan binatang tertentu yang akan disembelihnya sebagai korban, lalu ia mati sebelum sempat melakukannya, maka dalam hal ini seseorang itu atau warisnya harus menyembelih binatang korban bagi pihaknya sekalipun tanpa wasiat darinya.

Selain itu, jika seseorang itu melakukan ibadah korban untuk dirinya sendiri lalu ia berniat pahala korban untuk orang lain termasuklah orang yang telah meninggal dunia, maka ini diharuskan. Hal ini sepertimana yang telah dilakukan oleh Nabi SAW takkala baginda menyembelih binatang korbannya, lalu baginda mendoakan korban itu untuk dirinya, ahli keluarganya, dan seluruh umatnya.

Demikianlah pendapat yang terpilih dalam mazhab as-Syafie yang dikeluarkan oleh Imam Ar-Rafie dan Imam An-Nawawi dan lain-lainnya, berkenaan dengan hukum melaksakan ibadah korban ke atas orang yang telah meninggal dunia. Dan pandangan ini juga telah dikeluarkan oleh pejabat mufti Selangor. Semoga ia menjadi rujukan dan panduan kita semua yang boleh diambil manfaat bersama.

Wallahu A’lam.

UST. MOHD AMIRUL BIN KAMARUDIN

Pendakwah Bebas / Penasihat Syariah

EZ QURBAN SDN. BHD.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.