“Kalau Saya Tak Sempat Puasa Enam, Boleh Ke Ganti ?”

Umat Islam diharamkan untuk berpuasa pada hari pertama bulan Syawal. Tetapi digalakkan untuk melaksanakan puasa enam pada lain-lain hari dalam bulan berikut.

Keseronokan berhari raya, menghadiri rumah terbuka ataupun menganjurkan sendiri rumah terbuka mungkin akan terlupa ibadah istimewa ini.

Sedar tak sedar sudah hampir kepada penghujung bulan Syawal.

Bolehkah kalau berpuasa enam separuh di dalam bulan Syawal, selebihnya diganti pada bulan Zulkaedah?

Untuk menjawab soalan ini kami telah rujuk pada laman web rasmi Mufti Wilayah Persekutuan.

Dapatkan jawapannya di sini.

Kenapa Puasa Enam Itu Sunnah?

Puasa Enam

Puasa ini bukanlah ibadah yang dicipta semata-mata pahala sunnah. Tetapi ibadah ini memberikan ganjaran seperti berpuasa sepanjang tahun.

Hadis riwayat Muslim daripada Abu Ayub al-Ansari RA yang mana Rasulullah SAW telah bersabda:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ

Maksudnya: Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan kemudian diikuti dengan enam hari di bulan Syawal, ianya bersamaan dengan berpuasa sepanjang tahun.

Riwayat Muslim (1164)

Adakah puasa enam perlu dilaksanakan berturutan atau boleh dipisahkan?

Imam al-Nawawi Rahimahullah di dalam al-Majmu’ ada menulis: “…dan disunatkan untuk berpuasa secara berturutan di awal Syawal. Sekiranya dipisahkan (tidak berpuasa 6 hari secara berturutan) ataupun diakhirkan puasa tersebut di dalam bulan Syawal, maka ianya dibolehkan…

Di dalam Al-Imam Ibn Qudamah ada juga menulis di dalam kitabnya:  “…tidak ada bezanya (menjadikan puasa tersebut) dilakukan secara berturutan ataupun dipisahkan samaada di awal Syawal ataupun diakhirnya kerana hadis menyebutkannya secara mutlaq tanpa dikaitkan dengan sesuatu yang lain…

Mufti Wilayah Persekutuan di dalam laman webnya telah membuat kesimpulan bahawa terdapat fleksibiliti sama ada ingin berpuasa enam berturut-turut ataupun dipisahkan harinya selagi hari-hari tersebut adalah masih berada di dalam bulan Syawal.

Fadilat Berpuasa Enam

Puasa Enam
  1. Ganjaran Puasa Seperti Setahun

Seperti yang telah diulaskan sebelum ini, terdapat hadis yang memberikan gambaran ganjaran berpuasa enam pada bulan Syawal.

Terdapat sebuah lagi hadis yang menyatakan fadilatnya:

“Puasa Ramadhan pahalanya menyamai berpuasa selama sepuluh bulan dan berpuasa enam hari daripada bulan Syawal menyamai puasa selama dua bulan. Maka ianya mencukupi setahun.”

Hadis riwayat Ahmad, no. 21378, Ibn al- Khuzaimah dalam sahihnya, no. 2115, al-Darimi, no. 1755, al-Baihaqi dalam sunan al-Kubra, no. 8230.

Seperti Ramadan, puasa sebulan yang hadir cuma setahun sekali puasa enam pada bulan syawal juga hadir setahun sekali.

Ayuh rebut fadilat dan pahalanya. 

  1. Menampung Kekurangan Puasa Ramadan, dan Ibadah Lain

Jika pada bulan Ramadan ada yang merasakan kurang bersungguh-sungguh beribadah, jangan risau, Allah memberi peluang kepada semua untuk ‘menampal’ semula kekurangan itu pada bulan Syawal. 

Al-Imam Ibn Rajab menjelaskan:

أن صيام شوال وشعبان كصلاة السنن الرواتب قبل الصلاة المفروضة وبعدها فيكمل بذلك ما حصل في الفرض من خلل.

“Sesungguhnya puasa enam dan puasa syaaban adalah seperti amalan solat sunat rawatib sebelum dan sesudah solat fardu. Amalan sunat ini menampung kekurangan yang ada pada amalan fardu tersebut sekiranya berlaku kelompongan pada amalan fardu.” 

Lataif Maarif

Marilah laksanakan ibadah sunnah. Walaupun pahala dikira sedikit berbanding ibadah yang wajib, mungkin ia cukup untuk menampal apa-apa yang lopong di dalam ibadah wajib dan menjadi asbab untuk masuk ke syurga, insya-Allah.

  1. Syurga Bagi Yang Rajin Berpuasa
Puasa Enam

Allah telah menjanjikan nikmat yang besar dan kesejahteraan kepada hambaNya yang patuh pada perintahNya dan menjauhkan diri dari laranganNya.

Oleh itu Allah S.W.T telah menyediakan 8 pintu syurga untuk orang Islam yang bertakwa kepadaNya. 

Pintu syurga ar-Rayyan adalah syurga khas untuk orang yang suka berpuasa tidak kiralah puasa wajib atau sunat.

Daripada Sahal bin Sa’d R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّ في الجَنَّةِ بَابًا يُقَالُ لَهُ الرَّيَّانِ يَدخُلُ مِنهُ الصَّائِمُونَ يَومَ القِيَامَةِ، لَا يَدْخُلُ مِنهُ أَحَدٌ غَيْرُهُم

Maksudnya: “Sesungguhnya dalam syurga terdapat sebuah pintu yang dikenali dengan nama al-Rayyan khusus untuk ahli puasa memasuki syurga melaluinya pada hari kiamat kelak. Selain mereka tidak dibenarkan masuk.”

Riwayat Ahmad, al-Bukhari dan Muslim

Ganti Puasa Enam di Bulan Syawal Pada Bulan Zulkaedah

Puasa Enam

Daripada laman web rasmi Mufti Wilayah Persekutuan, qada atau menggantikan puasa enam bulan Syawal pada bulan lain seperti bulan Zulkaedah adalah sunat.

Menurut Mazhab Syafie ibadah ini merupakan sunat muakkad yang amat dituntut untuk dikerjakan setelah selesai berpuasa pada bulan Ramadan. 

Jadi adakah dibolehkan untuk qada puasa enam sekiranya terlepas untuk melaksanakannya pada bulan Syawal?

Jawapannya adalah apa-apa ibadah sunat termasuk puasa enam tidak wajib diqada.

Tetapi juga disunatkan untuk qada sekiranya tidak berkesempatan untuk melaksanakannya pada waktunya.

Imam Nawawi ada mengulas tentang ibadah sunnah. Menurutnya:

 “Sesiapa yang mengerjakan puasa sunat, atau solat sunat tidak wajib baginya untuk menyempurnakannya, tetapi ia disunatkan. Dan jika seseorang meninggalkan kedua-dua daripada ibadat tersebut, maka tidak wajib qada, tetapi ia disunatkan ganti”.

Rujuk Raudhah al-Tholibin: 2/386

Imam Ibnu Hajar al-Haytami juga telah menyatakan beberapa perkara tentang menggantikan puasa enam pada bulan yang lain: 

مَنْ صَامَهَا مَعَ رَمَضَانَ كُلُّ سَنَةٍ تَكُونُ كَصِيَامِ الدَّهْرِ فَرْضًا بِلَا مُضَاعَفَةٍ وَمَنْ صَامَ سِتَّةً غَيْرَهَا كَذَلِكَ تَكُونُ كَصِيَامِهِ نَفْلًا بِلَا مُضَاعَفَةٍ

Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa 6 bersama puasa Ramadan sepanjang tahun maka puasanya seperti puasa fardhu setahun tanpa gandaan pahala, dan sesiapa yang berpuasa 6 hari di bulan yang lain maka puasanya seperti puasa-puasa sunat tanpa gandaan pahala.” 

Rujuk Tuhfat al-Muhtaj: 3/457

Tetapi pahala puasa enam pada bulan Syawal berbeza sekiranya ingin dibandingkan dengan jika ia dilaksanakan pada bulan lain.

Jika dirujuk Asma al-Mathalib, terdapat nukilan daripada Sheikh Zakaria al-Ansari:

وَمَنْ فَاتَهُ رَمَضَانُ فَصَامَ عَنْهُ شَوَّالًا اُسْتُحِبَّ لَهُ أَنْ يَصُومَ سِتًّا مِنْ ذِي الْقَعْدَةِ لِأَنَّهُ يُسْتَحَبُّ قَضَاءُ الصَّوْمِ الرَّاتِبِ

Maksudnya: “Sesiapa yang luput puasa Ramadan dan dia berpuasa (ganti) Ramadan  dalam bulan Syawal, sunat baginya untuk mengerjakan puasa 6 dalam bulan Zulkaedah kerana diharuskan mengganti puasa sunat yang muakkad.”

Rujuk Asna al-Mathalib: 1/431

Berdasarkan dalil dan pandangan yang telah kami rungkaikan, qada puasa enam Syawal dalam bulan lain adalah sunat tetapi nilai pahalanya sedikit berbeza berbanding sekiranya dilaksanakan pada waktunya.

Namun sebagai umat Islam yang berusaha mencari redha Allah, kita seharusnya berusaha untuk melengkapkan enam hari puasa tersebut pada bulan Syawal.

Sekian sahaja perkongsian kali ini, semoga bermanfaat.

______

EZ Qurban
pakej korban ez qurban 2022

Bermula dengan hanya RM320/bahagian, jangan lepaskan peluang untuk zahirkan kesyukuran dengan melaksanakan ibadah korban tahun ini bersama EZ Qurban.

Dagingnya akan diagih kepada saudara kita yang memerlukan di 38 buah negara. Pendaftaran akan ditutup pada Hari Raya Kedua*

Klik butang di bawah untuk pendaftaran dan maklumat lanjut.

BEBAS TOLL : 1-800-885-885

FB: https://www.facebook.com/ezqurban

IG: https://www.instagram.com/ezqurban/

Whatsapp: 013 238 6000 atau klik https://wa.link/fktuxh  

*Tarikh tutup adalah berbeza mengikut jenis korban dan tertakluk kepada perubahan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

ARTIKEL BERKAITAN