PUASA ENAM SYAWAL @ PUASA GANTI?

1
585

Puasa sunat enam Syawal sememangnya sudah sedia maklum dikalangan masyarakat umat Islam pada hari ini. Yang mana momentum puasa Ramadan harus diteruskan di dalam bulan syawal ini bagi memperoleh ganjaran puasa enam sepertimana yang telah dinyatakan dalam sebuah hadis. Sabda Nabi SAW yang bermaksud:

“Barangsiapa yang telah berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan (puasa) 6 hari di bulan Syawal, maka baginya pahala sama seperti berpuasa ad-Dahr (setahun)”.
(HR: Al-Bukhari, No. 6502)

Namun isu yang kerap menjadi persoalan di sini ialah berkenaan tentang puasa yang manakah perlu didahulukan di antara melakukan puasa enam Syawal atau menggantikan puasa Ramadan (qadha’) yang telah lalu?  Berdasarkan hadis yang bermaksud:

“Dan tidaklah hampir kepadaku seorang hambaKu dengan apa juapun, maka yang lebih ku sukai adalah mereka melaksanakan amalan fardhu (wajib) ke atas mereka, dan sentiasalah mereka ingin menghampirkan diri mereka kepadaKu dengan mengerjakan amalan sunat sehinggalah aku kasih kepadanya”.
(HR: Al-Bukhari, No. 6021)

Hadis di atas jelas menyatakan tentang keutamaan antara amalan wajib dan sunat. Oleh itu, tanggungjawab menunaikan puasa qadha’ adalah lebih besar berbanding puasa enam hari syawal, bahkan ia merupakan ‘hutang’ ibadah kita dengan Allah SWT, manakala puasa enam hari syawal hanyalah sebagai tambahan pahala sahaja.

Tetapi bagi individu yang perlu menggantikan puasanya dengan bilangan hari yang banyak sehingga menyebabkan dia terlepas peluang untuk berpuasa enam syawal, maka haruslah ia menunaikan puasa enam syawal terlebih dahulu, ini kerana waktu untuk berpuasa enam adalah singkat berbanding puasa qadha’ (sepanjang tahun).

Lantaran itu, persoalan menggabungkan puasa qadha’ dengan puasa enam juga menjadi isu yang selalu bermain dalam masyarakat. Maka jawapan ringkasnya ialah tidak harus menggabungkan kedua-duanya bagi mereka yang berkemampuan dari sudut kesihatan, masa dan lain-lainnya. Ini adalah kerana puasa qadha’ adalah puasa wajib yang perlu diberikan tumpuan sepenuhnya bagi mengangkat tuntutan kewajibannya.

Justeru, bagi mereka yang menghadapi kesukaran disebabkan uzur atau tidak mampu untuk mengasingkannya, maka berdasarkan pandangan beberapa ulama dalam mazhab Syafie yang dinukilkan dari kitab Mughni Al-Muhtaj yang mengharuskan menggabungkan puasa kedua-duanya sekali.   Wallahu A’lam.

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.