”Kenapa Hibah? Selama ini saya ingatkan wasiat..”

0
867

Hibah secara ringkasnya adalah hadiah/pemberian kepada sesiapa sahaja. Anak, anak angkat, isteri dan lain-lain. Kenapa perlu hibah? supaya kita dapat merancang harta demi menjaga dan melahirkan kasih sayang, mengelakkan pertelingkahan dan memelihara hubungan kekeluargaan. Kerana tiada harta yang lebih berharga dari kasih sayang keluarga. Oleh kerana itu pembahagiaan harta perlu dirancang awal-awal sebelum meninggal dan perlu dilakukan melalui hibah dan bukanya wasiat. Apakah manfaat untuk anda? Hibah membina kasih sayang seperti saranan Rasulullah SAW. Menjadikan keluarga anda penuh cinta dan kebahagiaan. Menyamai kerukunan dan mampu memperbaiki hubungan kekeluargaan yang tercalar akibat perselisihan. Kelebihan hibah ialah supaya dapat mengelakkan kekusutan pusaka yang teruk yang menjadi punca pergaduhan, masam muka, porak peranda dalam keluarga. Sekarang mari kita fahami secara mendalam ape itu hibah:

Hibah merupakan salah satu instrumen penting dalam perancangan harta menurut undang-undang Islam. Dimana ianya adalah suatu pemberian harta yang berlaku semasa hidup. Instrumen ini sangat digalakkan dalam Islam, di mana sekiranya ia dilakukan dengan betul dan selaras dengan kehendak syarak, maka ia boleh mengelakkan berlaku pertikaian dan perebutan harta. Melaluinya juga dapat membantu kaum kerabat yang memerlukan bantuan.

HIBAH-  الهبة

Sudut Bahasa : pemberian atau hadiah.

Istilah Syara’ : akad yang mengandungi pemberian hak milik oleh seseorang secara sukarela terhadap hartanya kepada seseorang yang lain pada masa hidupnya tanpa balasan (‘iwad). الهبة – HIBAH Sudut Bahasa : pemberian atau hadiah. Istilah Syara’ : akad yang mengandungi pemberian hak milik oleh seseorang secara sukarela terhadap hartanya kepada seseorang yang lain pada masa hidupnya tanpa balasan (‘iwad).

Mengikut Al-Quran;

Firman Allah S.W.T: ﴿

وآتى المال على حبه ذوي القربى واليتامى والمساكين وابن السبيل والسائلين وفي الرقاب

﴾ Maksudnya: “ Dan (hendaklah) kamu memberi seseorang akan harta yang dikasihinya kepada kerabatnya, orang-orang miskin, musafir (yang memerlukan pertolongan) dan orang-orang yang memintaminta; dan (memerdekakan) hamba sahaya.. ” – Al-Baqarah: 177

AS-SUNNAH

Sabda Nabi S.A.W:

( تهادوا فإن الهدية تذهب بالسخيمة )

“ Saling ber-hadiahlah, kerana hadiah itu akan menghilangkan rasa benci/dengki (di dalam hati) ”

(Hadith riwayat Imam Ahmad: 9222)

RUKUN & SYARAT

Pemberi hibah (al-Wahib)

Pemberi hibah hendaklah seorang yang mempunyai keahlian seperti sempurna akal, baligh dan rushd (cerdik/pandai menguruskan harta). Pemberi hibah mestilah tuan punya barang yang dihibahkan. Oleh kerana pemilik harta mempunyai kuasa penuh ke atas hartanya, hibah boleh dibuat tanpa had kadar serta kepada sesiapa yang disukainya termasuk kepada orang bukan Islam, asalkan maksudnya tidak melanggar hukum syarak.

 

Penerima hibah (al-Mawhub lahu)

Penerima hibah boleh terdiri daripada sesiapa sahaja asalkan dia mempunyai keupayaan memiliki harta sama ada mukallaf atau bukan mukallaf. Sekiranya penerima hibah bukan mukallaf seperti masih belum akil baligh atau kurang upaya, hibah boleh diberikan kepada walinya atau pemegang amanah bagi pihaknya. Penerima hibah mestilah menerima harta yang dihibahkan dan berkuasa memegangnya. Dengan kata lain, penguasaan dan kawalan terhadap harta mestilah diberikan kepada penerima hibah.

Barang atau harta yang dihibahkan (al-Mawhub)

  • Barang atau harta yang hendak dihibahkan itu perlu memenuhi syarat-syarat berikut:
  • Ia hendaklah barang atau harta yang halal.
  • Ia hendaklah sejenis barang atau harta mempunyai nilai di sisi syarak.
  • Barang atau harta itu milik pemberi hibah.
  • Ia boleh diserah milikkan.
  • Ia benar-benar wujud semasa dihibahkan. Contohnya, tidak sah hibah barang yang belum ada seperti menghibahkan anak lembu yang masih dalam kandungan atau hibah hasil padi tahun hadapan sedangkan masih belum berbuah dan sebagainya. Harta itu tidak bersambung dengan harta pemberi hibah yang tidak boleh dipisahkan seperti pokok-pokok, tanaman dan bangunan yang tidak termasuk tanah. Mengikut mazhab Maliki, Syafie dan Hanbali, hibah terhadap harta yang berkongsi yang tidak boleh dibahagikan adalah sah hukumnya. Dalam Islam, barang yang masih bercagar (seperti rumah) boleh dihibahkan jika mendapat keizinan dari penggadai atau peminjam.

Sighah – lafaz Ijab dan Qabul

Sighah hibah merupakan lafaz atau perbuatan yang membawa makna pemberian dan penerimaan hibah. Ia tertakluk kepada syarat-syarat berikut:

  • Ada persambungan dan persamaan di antara ijab dan qabul.
  • Tidak dikenakan syarat-syarat tertentu.
  • Tidak disyaratkan dengan tempoh masa tertentu.

Contoh lafaz ijab seperti kata pemberi “Aku berikan barang ini kepadamu” Sementara contoh lafaz qabul (penerimaan) pula seperti “aku terima”, “aku redha” dan sebagainya.

Nota: (Dalam undang-undang Islam, sesuatu hibah itu menjadi sah dengan adanya ijab dan qabul dengan perkataan atau apa-apa cara yang membawa erti memberi milik harta tanpa balasan (‘iwad). Mengikut mazhab Maliki dan Syafie, penerimaan (qabul) itu hendaklah diambil kira dalam menentukan sah atau tidaknya sesuatu hibah. Sebaliknya, golongan Hanafi menganggap bahawa ijab sahaja sudah memadai untuk menentukan sahnya sesuatu hibah itu.)

 

PENERIMAAN (AL-QABD)

Istilah al-qabd (penerimaan barang) bermaksud mendapat sesuatu, menguasainya dan boleh melakukan tasarruf (pertukaran) terhadap barang atau harta tersebut. Mengikut mazhab Abu Hanifah dan Syafie, penerimaan barang merupakan salah satu dari syarat sah hibah. Oleh itu, apabila berlaku kematian salah satu dari dua pihak – belum membuat penyerahan barang, maka hibah itu terbatal.

Nota: (Al-qabd merupakan syarat luzum, ertinya akad hibah tidak sempurna dan tidak berkuatkuasa dengan ijab dan qabul semata-mata, kecuali selepas al-qabd. Sekiranya al-qabd tidak berlaku, maka akad hibah merupakan akad yang tidak mengikat. Oleh itu, pemberi hibah berhak menarik balik hibah tersebut selama mana harta berkenaan berada dalam pemilikannya).

Bagi memastikan akad hibah itu sempurna dan menjadi satu akad yang mengikat, al-qabd tertakluk kepada syarat-syarat berikut:

  • Mendapat kebenaran dan keizinan pemberi hibah secara jelas.
  • Harta yang dihibahkan tidak bercampur dengan harta lain.
  •  Penerima hibah mempunyai keahlian iaitu baligh dan berakal. Bagi kanakkanak dan orang gila (atau tidak berkeahlian) maka walinya atau pemegang amanah boleh menerima harta hibah bagi pihaknya.

Cara penerimaan barang (al-qabd) adalah berbeza-beza mengikut jenis harta sama ada harta tak alih atau harta alih. Bagi harta tak alih, al-qabd boleh berlaku dengan cara mengosongkan harta itu, menguasainya dan melakukan tasarruf terhadap harta tersebut seperti menyerah kunci dan seumpamanya. Manakala bagi harta alih pula, al-qabd boleh berlaku dengan cara mengambil harta itu, memindah atau mengasingkan harta tersebut daripada harta-harta lain.

KADAR PEMBERIAN

Islam tidak menetapkan kadar atau had tertentu bagi harta yang hendak dihibahkan. Ini kerana harta yang hendak dihibahkan itu merupakan milik pemberi hibah, maka terpulanglah kepada pemberi hibah membuat pertimbangan terhadap kadar harta yang ingin dihibahkan.

Walaupun begitu, Islam menggalakkan hibah diberikan secara adil, lebih lebih lagi jika diberikan kepada anak-anak. Jumhur ulamak (Hanafi, Maliki dan Syafie) berpendapat bahawa sunat menyamakan pemberian di antara anak-anak dan pemberian yang lebih kepada salah seorang daripada mereka adalah makruh hukumnya, walaupun pemberian itu sah.

Bagi Abu Yusuf, melebihkan pemberian kepada sebahagian daripada anak-anak adalah diharuskan jika ibu bapa tidak berniat menimbulkan bahaya kepada anak-anak yang lain. Sekiranya ibu bapa berniat sedemikian, maka menjadi kewajipan mereka menyamakan pemberian tersebut. Menurut mazhab Hanbali, keadilan dalam pemberian hibah kepada anak-anak merupakan perkara yang wajib. Manakala menurut Imam Malik, tidak boleh memberi hibah semua harta kepada sesetengah anaknya dan tidak kepada yang lain.

APLIKASI HIBAH

Di Malaysia, tiada peruntukan khusus mengenai undang-undang hibah yang dikanunkan. Ini bermakna Dewan Perundangan Negeri dan Parlimen (bagi WilayahWilayah Persekutuan) tidak pernah meluluskan statut khusus mengenai hibah orang Islam untuk dilaksanakan di Mahkamah-mahkamah Syariah. Hanya disebutkan secara umum dalam Butiran 1, Senarai II Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa:

“Kecuali mengenai Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, hukum Syarak dan undang-undang diri dan keluarga bagi orang yang menganut agama Islam, termasuk hukum Syarak yang berhubungan dengan mewarisi harta berwasiat dan tidak berwasiat, pertunangan, perkahwinan, perceraian, mas kahwin, nafkah, pengambilan anak angkat, taraf anak, penjagaan anak, pemberian, pembahagian harta dan amanah bukan khairat; Wakaf dan takrif serta peraturan mengenai amanah khairat dan khairat agama, pelantikan pemegang-pemegang amanah dan perbadanan bagi orang-orang mengenai pemberian agama dan khairat, yayasan, amanah, khairat dan yayasan khairat yang dijalankan, kesemuanya dalam Negeri; adat istiadat Melayu; Zakat, Fitrah dan Baitulmal atau hasil agama Islam yang seumpamanya; masjid atau mana-mana tempat sembahyang awam untuk orang Islam, mengadakan dan menghukum kesalahankesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap rukun-rukun Islam, kecuali mengenai perkara-perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan; keanggotaan, penyusunan dan acara bagi mahkamah-mahkamah Syariah, yang akan mempunyai bidang kuasa hanya ke atas orang-orang yang menganut agama Islam dan 10 hanya mengenai mana-mana perkara yang termasuk dalam perenggan ini, tetapi tidak mempunyai bidang kuasa mengenai kesalahan-kesalahan kecuali setakat yang diberi oleh undang-undang persekutuan; mengawal pengembangan iktikad dan kepercayaan antara orang-orang yang menganut agama Islam; menentukan perkara-perkara hukum Syarak dan iktikad dan adat istiadat Melayu”.

PENUTUP

Kertas kerja HIBAH – Menurut Perspektif Islam ini adalah sebagai nota ringkas yang dibentangkan di dalam silibus pengajian Kursus Intensif Feqh Zakat & Muamalat Islam 2011, Institut Al-Muhasibin Al-Islami – Atarek Kamil Ibrahim & Co. Firma Akauntan Bertauliah (Malaysia). Nota ringkas ini juga boleh dijadikan sebagai panduan asas untuk mata pelajaran atau silibus tambahan yang berkaitan dengannya. Oleh itu, sebarang penerbitan, salinan atau cetakan semula adalah diizinkan oleh penulis.

 

MOHD AMIRUL BIN KAMARUDIN

Pendakwah Bebas / Penasihat Syariah
EZ QURBAN SDN. BHD.

NO TELEFON: 013-2000764

FB: EZ WASIAT EZ PUSAKA

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.