Kau Rasa Mereka Minta Jadi Begini? – Realiti di Kem Pelarian Rohingya, Bangladesh

0
413

Ketika aku dan tiga sahabat yang lain termasuk dari EZ Qurban tiba di khemah pelarian Rohingya di Balukhali dan Kutupalong petang semalam, hujan lebat membasahi buminya.
Jalan-jalan penuh dengan lumpur dan selut. Di sana sini anak-anak kecil menangis kelaparan, si ibu menggigil kesejukan dan si ayah mundar mandir tak tentu arah tujuan.

Khemah usang kanvasnya bocor. Perigi digali airnya kotor. Yang sakit ubatnya tiada. Yang mati pula nisannya tak bertanda.
Kita pula hanya gemar berpolemik. Kononnya Rohingya yang menempah derita, mereka bangsa yang patut menerima celaka. Kononnya sengsara ini mereka tempah sendiri. Tiada tempat untuk menumpang walau di bumi sendiri!

Kau tahu tak apa perasaanku apabila mereka berbondong-bondong ke surau yang nak rebah ke bumi tiap kali masuk waktu. Kau tahu tak perasaanku setiap kali mereka mengambil wudhu dengan air yang kuning kehitaman. Kau tahu tak perasaanku kerana mereka tidak pernah menyalahkan Tuhan mereka walaupun hidup mereka tak pernah bahagia?

Perkongsian dari Saudara Syahril A. Kadir

Lebih empat jam kami berada di khemah pelarian itu. Tak seorang pun yang datang merayu-rayu. Tak seorang pun datang kepada kami menyembah dan meraih simpati…namun kami tahu di hati mereka seolah-olah mahu menjerit, wahai Tuan, tolonglah kami!

Wahai teman-temanku di tanah air. Di sini kami menyaksikan krisis kemanusiaan terburuk abad ini. Lebih 500,000 orang telah menyeberang bukit bukau dan berjalan kaki berhari-hari, yang didukung, yang bertongkat, yang dikendong, yang diangkat…malah ada yg ajalnya dijemput dulu sebelum sempat menjamah walau secubit nasi!

Kau rasa mereka minta jadi begini?
SYAHRIL A. KADIR
Oktober 3.15 pagi
Cox Bazar, Bangladesh.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.