Jihad di Bumi Moro

0
951

Ini adalah artikel terbitan Harian Metro hari ini sempena dokumentari khas yang akan ditayangkan esok.

Situasi Sebenar Di Mindanao:
Dokumentari khas “Jihad di Bumi Moro”
Rungkai Perjuangan Sebenar Tentera MILF

Membaca kejadian kes-kes penculikan di selatan Filipina yang dilakukan oleh kumpulan Abu Sayyaf menyebabkan ramai orang gerun untuk melancong di kawasan pulau-pulau utara dan timur di Sabah, mahupun di selatan Filipina kerana mereka bakal berdepan dengan pelbagai kemungkinan apabila melancong ke lokasi tersebut.

Begitu juga dengan laporan yang menyatakan kewujudan ahli kumpulan militan Negara Islam (IS) di Mindanao yang menyusup masuk ke wilayah tersebut sehingga dikatakan menjadi punca tentera Filipina mengambil tindakan pro-aktif memerangi mereka. Kedua-dua fakta ini secara tidak langsung memberi kesan yang amat negatif kepada imej Barisan Pembebasan Islam Moro atau MILF.

Pelbagai tuduhan dan berita negatif sentiasa dikaitkan dengan MILF sehingga gerakan ini dicop sebagai kumpulan pemberontak berhaluan kiri yang berkait rapat dengan aktiviti keganasan (terorrisme). Hakikatnya, MILF langsung tiada kena mengena dengan aktiviti terorrisme dan menjadikan keganasan serta provokasi sebagai penyelesaian kepada setiap dilema yang telah mencecah puluhan dekad bagi mewujudkan wilayah autonomi Islam.

“Kami bukan Abu Sayyaf, kami bukan penganas dan kami amat cintakan keamanan yang berlandaskan Al-Quran dan hadis. Mana mungkin sebagai penganut Islam yang mempraktiskan setiap suruhan agama suci ini melakukan pembunuhan, penculikan dan membuat pemberontakkan secara membabi-buta.

“Jawatankuasa Pusat (Central Committee) tidak pernah mengeluarkan dikri untuk berjihad secara keganasan dan provokasi terhadap kerajaan dan tentera Filipina bagi membolehkan kami (MILF) menubuhkan kerajaan yang diperintah sepenuhnya mengikut ajaran Islam. Jika keganasan dilakukan, ia sudah pastinya bukan daripada arahan Jawantankuasa Pusat.

“Orang kami juga tidak terlibat dengan pelbagai kejadian pencerobohan khususnya seperti konfrontasi antara penceroboh bersenjata Sulu dan pasukan keselamatan Malaysia di timur Sabah (2013) dan penculikan pelancong asing di pulau-pulau Sabah sebagaimana tuduhan yang sering dilemparkan kepada kami,” jelas Pengerusi MILF, Al-Haj Murad Ebrahim dalam satu temu bual eksklusif bersama penerbit dokumentari khas bertajuk “Jihad di Bumi Moro’, Rosli Mohd Nordin di Kem Darapanan, Sultan Kudarat-Maguindanao, selatan Filipina.

Menurut Al-Haj Murad lagi, bagi memastikan setiap tindakan dan keputusan yang diambil oleh Jawatankuasa Pusat MILF, pihaknya melantik seorang Mufti bagi mengeluarkan fatwa dan nasihat berhubung dengan setiap isu khususnya yang menimbulkan keraguan dan tindakan yang perlu diambil dalam pelbagai aspek. Justeru pelantikan Sheikh Abu Hurairah Abdulrahman Udasan sebagai Mufti Bangsa Moro secara umumnya dan khasnya kepada MILF menjadi satu lagi pendekatan pro-aktif oleh MILF bagi membuktikan gerakan tersebut berada pada landasan agama Islam yang sebenar.

MILF Lantik Mufti Sebagai Penasihat Agama

Bagi menjelaskan pelantikan dan peranan Mufti bangsa Moro, Rosli dan pasukan penerbitan dokumentari ini turut bergegas ke Kambung Lugay-Lugay di pinggir Cotabato City bagi membuat temuramah bersama Sheikh Abu Hurairah. Walaupun beliau semakin uzur (berusia 74 tahun), ketibaan Rosli disambut dengan mesra oleh Sheikh Abu Hurairah memandangkan beliau begitu teruja mengetahui penerbit dari Unit Majalah dan Dokumentari, RTM datang menjejaknya. Ini berikutan Sheikh Abu Hurairah pernah menjadi juruhebah siaran Suara Malaysia di RTM Kota Kinabalu untuk Bahasa Tagalog selama 11 tahun (juruhebah tetap, 1974-1985) dan juruhebah sambilan selama 24 tahun (1985-2012).

“Pelantikan saya sebagai Mufti MILF dan bangsa Moro merupakan satu penghormatan kepada saya, namun tugas ini amat berat kerana saya perlu berhati-hati mengeluarkan setiap fatwa, hukum-hakam dan solusi setiap permasalahan yang dirujuk kepada saya.
“Sebagai contoh, jika kerajaan Filipina mengeluarkan arahan bagi menahan “orang-orang” kami, adakah kami perlu menyerahkan mereka kepada tentera Filipina untuk mereka dihukum mengikut undang-undang kerajaan (sivil) dan bagaimanakah pula jika kami tidak menyerahkan “individu yang dikehendaki” (wanted) tersebut. Dalam perkara ini saya perlu merujuk kepada Al-Quran dan hadis. Saya tidak boleh “menjatuhkan” fatwa sewenang-wenangnya kerana kami mempratikkan cara hidup Islam yang disarankan oleh Nabi Muhammad s.a.w.” tegas Sheikh Abu Hurairah.

Tegas Sheikh Abu Hurairah lagi, begitu juga hukuman terhadap senjata rampasan yang dirampas oleh tentera MILF, adakah mereka boleh mengambil dan menggunakannya atau ia perlu diserahkan semula kepada kerajaan (tentera) Filipina. Menurut Sheikh Abu Hurairah lagi, fatwa dan keputusan yang dibuat oleh beliau dibuat menggunakan dengan mengambil kira kepentingan bangsa Moro dan dalam masa yang sama turut sesuai diaplikasi demi menjaga kestabilan di Mindanao.

Hampir Batalkan Pengambaran

Dalam perkembangan yang sama, menurut penerbit dokumentari “Jihad di Bumi Moro”, Rosli Mohd Nordin menyifatkan pengambaran dan penerbitan dokuemntari ini benar-benar mencabar beliau. Manakan tidak, ketika beliau bersiap untuk menaiki penerbangan ke Cotabato City pada 18 Disember lalu, Rosli mendapat perkhabaran bahawa lokasi untuk pengambaran dokumentari berkenaan dalam keadaan tidak selamat untuk dikunjungi. Ini berikutan serangan tentera Filipina ke atas salah satu kubu kuat MILF di Basilan yang dilaporkan terdapat unsur pencerobohan pengganas IS.

“Sepanjang berada dalam pesawat, saya begitu berdebar kerana pelbagai kemungkinan boleh terjadi jika lokasi pengambaran utama di Basilan diletakkan dalam “mod perang”. Jika ia terjadi, maka pengisian dokumentari ini akan kurang “rempahnya”, namun debaran tersebut tidak terhenti di atas pesawat sahaja.

Ia bersambung hingga ke hari ketiga pengambaran ketika kami sedang bersiap sedia untuk menaiki feri ke Basilan.
“Manakan tidak, maklumat dari “orang tengah” kami menghantar mesej bahawa tentera Filipina belum berundur daripada Basilan. Namun melalui nasihat “orang tengah” tersebut, beliau menasihatkan agar saya mengurangkan krew pengambaran daripada empat orang kepada dua orang sahaja. Alhamdulillah, akhirnya kami berjaya tiba ke Basilan bagi merakam pelbagai aktiviti ketenteraan tentera MILF bagi mempertahankan tanah air mereka,” jelas Rosli yang berjaya membongkar matlamat sebenar penubuhan MILF yang sering dikaitkan dengan aktiviti keganasan.

“Ketika di Basilan, saya berjaya merakam bagaimana jihad yang diperjuangkan oleh tentera MILF bagi menentang penceroboh sebagaimana yang dipersetujui oleh kerajaan Filipina dan pihak MILF. Tentera MILF tidak dibayar sebarang gaji, mereka menjadikan perjuangan sebagai jihad dan jika terkorban kerana mempertahankan tanah air dan agama Islam, ia adalah sebagai mati syahid.
“Selain itu, walaupun ketibaan saya di Basilan baru beberapa jam sahaja lokasi tersebut di isytiharkan sebagai “bebas perang” namun adalah tidak mustahil terdapat serangan seperti tembakan dan pelancaran bom oleh musuh MILF terhadap lokasi yang saya kunjungi berlaku. Perkara seperti pencabulan gencatan senjata telah banyak kali dilanggar oleh pihak musuh MILF kerana mereka menyerang tentera MILF di Basilan tanpa kembali merujuk pelan damai yang dimeterai,” tegas Rosli yang berjaya merakam beberapa kesan pengeboman dan tembakan di kem tentera MILF tersebut.

Menurut Rosli lagi, beliau amat berterima kasih kepada pengurusan EZ Qurban yang berjaya membuka akses produksi RTM memasuki Basilan dan menguruskan pertemuan secara tertutup dengan pihak tertinggi MILF sehingga dokumentari ini berjaya diterbitkan seperti yang dirancang sejak tiga bulan yang lalu.

Bagi menyaksikan dokumentari khas yang diterbitkan secara eksklusif oleh Rosli, saksikan “Jihad di Bumi Moro” pada 31 Disember ini (Sabtu), jam 2.30 minit petang di TV1. Manakala ulangannya pula pada 1 Januari 2017 (Ahad), jam 10.30 minit malam juga di TV1.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.