10 Soal & Jawab Tentang Puasa (Bhg.2)

0
465

01. APAKAH PERKARA YANG MEMBATALKAN PUASA?

Perkara yang membatalkan puasa ialah:

  1. Makan dan minum dengan sengaja
  2. Memasukkan sesuatu benda ke dalam rongga yang terbuka
  3. Muntah yang banyak (dengan sengaja)
  4. Menelan kahak atau hingus yang telah keluar dari rongganya
  5. Melakukan hubungan kelamin (antara suami isteri)
  6. Melakukan Istimna’ (mengeluarkan air mani)
  7. Keluar darah haid atau nifas
  8. Gila atau pitam sepanjang hari Ramadan
  9. Sengaja berniat untuk membatalkan puasa
  10. Murtad

02. ADAKAH BATAL PUASA, JIKA SESEORANG YANG BERPUASA MAKAN DAN MINUM DENGAN TANPA SENGAJA?

Tidak batal puasanya, walaupun dia telah makan atau minum dengan banyak. Hal ini berdasarkan hadith. Sabda Rasulullah SAW:

مَنْ نَسِيَ وَهُوَ صَائِمٌ فَأَكَلَ أَوْ شَرِبَ، فَلْيُتِمَّ صَوْمَهُ فَإِنَّمَا أَطْعَمَهُ اللهُ وَسَقَاهُ

Maksudnya: “Barangsiapa yang terlupa sedang dia berpuasa, lalu dia makan atau minum, (apabila dia teringat kembali) maka hendaklah dia meneruskan puasanya. Sesungguhnya dia telah diberi makan dan minum oleh Allah Taala”. (HR. Bukhari dan Muslim)

Tambahan: Seseorang yang sedang berpuasa, lalu dia makan dan minum dengan sengaja, dalam keadaan dia tidak mengetahui larangan tersebut kerana jahil atau dia baru memeluk agama Islam, maka puasanya tidak batal, namun dia wajib mempelajari hukum hakam berkaitan ibadah puasa.

03. KETIKA SEDANG BERSAHUR, AZAN SUBUH BERKUMANDANG. LALU DIA MENELAN BAKI MAKANAN ATAU MINUMAN YANG MASIH ADA DI DALAM MULUTNYA. ADAKAH BATAL PUASANYA?

Ya. Batal puasanya, dan dia wajib Imsak sepanjang hari tersebut, iaitu dia hendaklah meneruskan puasanya seperti biasa walaupun ianya telah batal. Kemudian dia hendaklah menggantikan puasanya itu. Sama juga dengan orang yang sedang melakukan hubungan kelamin antara suami dan isteri, tiba-tiba azan subuh berkumandang. Jika pasangan suami dan isteri itu tidak mengakhiri hubungan tersebut, maka batallah puasanya.

04. MENELAN AIR LIUR KETIKA BERPUASA. ADAKAH BATAL PUASANYA?

Menelan air liur yang berada di dalam rongga mulut adalah tidak membatalkan puasa, kerana ia termasuk perkara yang sukar untuk mengawalnya. Tetapi jika air liur tersebut diluahkan atau dikeluarkan daripada rongga mulut kemudian ditelan semula, maka batal puasanya.

Begitu juga hukumnya menelan kahak atau hingus yang telah diluahkan. Sekiranya dia menelan kembali, maka batal puasanya. Tetapi jika kahak itu hanya tersekat di kerongkong, kemudian ia telan atau kahak tersebut turun ke dalam perutnya dengan sendiri, maka tidak batal puasanya.

Tambahan: Sekiranya air liur tersebut telah bercampur dengan najis seperti darah gusi, dan dia tidak meluahkan atau membasuh mulutnya, kemudian dia menelannya, maka batal puasanya.

05. ADAKAH ORANG YANG MUNTAH KETIKA SEDANG BERPUASA ITU PERLU MENGGANTIKAN PUASANYA?

Sekiranya dia muntah dengan tidak sengaja, maka tidak batal puasanya dan dia tidak perlu menggantikan puasanya. Hal ini berdasarkan hadith. Sabda Rasulullah SAW:

مَنْ ذَرَعَهُ الْقَيْءُ فَلَيْسَ عَلَيْهِ قَضَاءٌ وَمَنِ اسْتَقَاءَ عَمْدًا فَلْيَقْضِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang muntah (dengan tidak sengaja) maka tidak wajib qadha’ puasa ke atasnya, dan barangsiapa yang muntah dengan sengaja, maka hendaklah dia menggantikan puasanya”. (HR. At-Tirmidzi)

06. APAKAH HUKUM ISTIMNA’ KETIKA SEDANG BERPUASA (MASTURBASI)?

Istimna’ bermaksud melakukan onani atau masturbasi dengan sengaja, iaitu perbuatan mengeluarkan air mani tanpa melalui jalan persetubuhan, samada dengan cara bercumbuan, atau mengeluarkannya tangan sendiri atau dengan tangan isterinya. Dalam  hal ini, maka batal puasanya dan diwajibkan qadha’ puasanya.

Jika sekiranya air mani itu keluar dengan sendirinya disebabkan bermimpi di siang hari Ramadan, atau dia melihat kemaluan dengan berulang kali tanpa menyentuh kemaluan, ataupun dia membayangkan hubungan kelamin tanpa menyentuh kemaluannya, maka tidak batal puasanya. Justeru, hukum perbuatan Istimna’ ini adalah haram (kecuali keluar mani dengan sebab bermimpi) sama seperti hukum bersetubuh di siang hari Ramadan.

07. ADAKAH WANITA YANG DIDATANGI HAID ATAU NIFAS PERLU IMSAK SEPANJANG HARI RAMADAN?

Wanita yang sedang dalam keadaan haid atau nifas tidak perlu imsak sepanjang hari Ramadan. Malah dia diharuskan untuk makan dan minum seperti biasa. Walaupun demikian, dia tidak boleh sewenang-wenangnya makan dan minum di khalayak ramai, maka dia hendaklah menghormati saudara-saudara seagamanya yang sedang berpuasa.

08. ADAKAH DIBENARKAN WANITA MEMAKAN PIL (UBAT) PENAHAN HAID, KERANA UNTUK BERPUASA PENUH DI BULAN RAMADAN?

Dalam hal ini adalah dibenarkan mengikut pendapat sebahagian para ulama’. Namun begitu, dia hendaklah mendapatkan nasihat doktor pakar terlebih dahulu, supaya ianya tidak memudharatkan kesihatannya. Tetapi sebaik-baiknya (afdhal) dia tidak mengambilnya dan dia kekal mengikut takdir Allah SWT terhadap wanita.

09. BOLEHKAH MENGOREK HIDUNG ATAU TELINGA KETIKA SEDANG BERPUASA?

Harus mengorek hidung atau telinga kerana gatal, atau ingin membersihkannya. Para ulama’ dalam mazhab As-Syafie menghadkan harus mengorek hidung dan telinga tidak sampai pada had batin. Sekiranya mengorek hidung atau telinga dengan tanpa apa-apa tujuan atau keperluan, maka hukumnya adalah makruh.

Huraian: Had batin bagi hidung adalah melepasi tulang hidung. Manakala had bagi telinga ialah sampai kepada gegendang telinga.

10. BAGAIMANAKAH PULA HUKUM SESEORANG YANG BERPUASA TIDUR DI SEPANJANG HARI RAMADAN?

Tidur adalah perkara yang diharuskan oleh syarak melakukannya pada bila-bila masa yang dikehendaki. Namun, perbuatan tersebut menjadi makruh apabila seseorang yang berpuasa itu tidur di sepanjang hari Ramadan, kerana dia telah mensia-siakan peluang untuk mempertingkatkan beribadah di bulan Ramadan dengan ganjaran yang berlipat kali ganda.

an, kerana dia telah mensia-siakan peluang untuk mempertingkatkan beribadah di bulan Ramadan dengan ganjaran yang berlipat kali ganda.

Huraian: Perbuatan tersebut hukumnya boleh bertukar menjadi haram, sekiranya seseorang yang berpuasa tidur sepanjang hari Ramadan lalu dia meninggalkan kewajipan menunaikan solat fardhu subuh, zohor dan asar.  Bulan Ramadan bukanlah bulan untuk tidur, bahkan tidur itu tidak membatalkan puasanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.