10 Soal & Jawab Tentang Puasa (Bhg.1)

0
823

01. ADAKAH SAH PUASA TANPA NIAT?

Tidak sah puasa tanpa niat. Dan tidak juga memadai hanya melafazkan niat sahaja dengan lisan, tanpa dimasukkannya ke dalam hati.

02. BAGAIMANAKAH CARA BERNIAT PUASA?

Niat puasa Ramadan mestilah mengikuti beberapa syarat berikut:

  1. Hendaklah berniat puasa pada waktu malam.
  2. Menentukan jenis puasanya.
  3. Niat dilakukan pada setiap malam Ramadan.

Huraian: Seseorang yang berpuasa hendaklah berniat puasa pada waktu malam iaitu sebelum terbitnya fajar. Sekiranya dia tidak berniat puasa hingga telah terbit fajar, maka puasanya tidak sah. Hal ini berdasarkan hadith. Sabda Rasulullah SAW:

مَنْ لَمْ يُبَيِّتِ الصِّيَامَ قَبْلَ طُلُوعِ الْفَجْرِ فَلا صِيَامَ لَهُ

Maksudnya: “Barangsiapa yang tidak berniat puasa sebelum terbit fajar, maka puasanya tidak sah (tidak diterima)”. (HR. Al-Baihaqi: 7909)

03. APAKAH LAFAZ NIAT BERPUASA?

Berikut adalah lafaz niat puasa Ramadan yang dianjurkan oleh para ulama’:

نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ أَدَاءِ فَرْضِ شَهْرِرَمَضَانَ هَذِهِ السَّنَةِ ِللهِ تَعَالَى.

Maksudnya: “Sahaja aku berniat untuk berpuasa pada esok hari dalam bulan Ramadan, pada tahun ini kerana Allah Ta’ala”.

Sunat melafazkan niat puasa ini untuk menambah keyakinan di dalam hati. Maka hendaklah dilafazkannya dengan niat yang sama seperti apa yang terlintas di dalam hati.

04. SEKIRANYA TELAH BERNIAT PADA WAKTU MALAM, KEMUDIAN DIA MAKAN DAN MINUM, ATAU MELAKUKAN HUBUNGAN KELAMIN, ADAKAH TERBATAL NIAT PUASANYA?

Makan, minum dan melakukan hubungan kelamin tidak menjejaskan niat puasanya, kerana hal yang demikian adalah dibenarkan oleh syarak melakukannya sehingga terbit fajar, iaitu sehingga menjelang masuknya waktu subuh.

05. SESEORANG YANG BERPUASA, KEMUDIAN DIA SENGAJA BERNIAT UNTUK BERBUKA PADAHAL BELUM SAMPAI WAKTUNYA? ADAKAH BATAL PUASANYA?

Mengikut pendapat Sayyid Sabiq di dalam kitabnya Fiqh As-Sunnah: Seseorang yang sedang berpuasa, kemudian dia berniat untuk berbuka, maka batallah puasanya sekalipun beliau tidak berbuka. Ini kerana, niat merupakan salah satu rukun puasa”.

06. KETIKA SEDANG BERSAHUR, AZAN SUBUH BERKUMANDANG. LALU DIA MENELAN BAKI MAKANAN ATAU MINUMAN YANG MASIH ADA DI DALAM MULUTNYA. ADAKAH BATAL PUASANYA?

Ya. Batal puasanya. Walaupun begitu, dia hendaklah Imsak (menahan diri) daripada makan dan minum di sepanjang hari tersebut, dan dia wajib meneruskan puasanya seperti biasa walaupun ianya telah dikira batal. Kemudian dia hendaklah menggantikan puasanya itu. Sama juga dengan orang yang sedang melakukan hubungan kelamin, tiba-tiba azan subuh berkumandang. Jika pasangan suami dan isteri itu tidak mengakhiri hubungan tersebut, maka batallah puasanya.

07. MENELAN AIR LIUR KETIKA BERPUASA. ADAKAH BATAL PUASANYA?

Menelan air liur yang berada di dalam rongga mulut adalah tidak membatalkan puasa, kerana ia termasuk perkara yang sukar untuk mengawalnya. Tetapi jika air liur tersebut diluahkan atau dikeluarkan daripada rongga mulut kemudian ditelan semula, maka batal puasanya.

Begitu juga hukumnya menelan kahak atau hingus yang telah diluahkan. Sekiranya dia menelan kembali, maka batal puasanya. Tetapi jika kahak itu hanya tersekat di kerongkong, kemudian ia telan atau kahak tersebut turun ke dalam perutnya dengan sendiri, maka tidak batal puasanya.

Tambahan: Sekiranya air liur tersebut telah bercampur dengan najis seperti darah gusi, dan dia tidak meluahkan atau membasuh mulutnya, kemudian dia menelannya maka batal puasanya.

08. ADAKAH DIBENARKAN SEORANG TUKANG MASAK MERASAI MASAKANNYA KETIKA SEDANG BERPUASA?

Harus bagi tukang masak merasa masakannya, namun ia sekadar merasai dihujung lidahnya sahaja. Hal yang demikian tidak membatalkan puasanya.

09. SESEORANG YANG BERPUASA MENELAN SISA MAKANAN YANG TERLEKAT DI CELAH-CELAH GIGINYA, ADAKAH BATAL PUASANYA?

Ya. Batal puasanya, sekiranya dia sengaja menelan sisa makanan tersebut (padahal dia mampu meluahkannya). Jika dia tertelan bersama air liurnya, disebabkan sukar untuk membeza atau meludahkannya kerana ada halangan, maka hal ini dimaafkan dan tidak batal puasanya.

10. ADAKAH MEROKOK BOLEH MEMBATALKAN PUASA?

Ya. Batal puasa dengan sebab merokok, mengikut pendapat jumhur ulama’ sepertimana yang telah dinukilkan dalam kitab Al-Fiqh Al-Manhaji Mazhab As-Syafie. Dalam hal ini, dia hendaklah menggantikan puasanya dan dikenakan kaffarah, kerana sengaja melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.